Colmar Village, France

Dalam perjalanan pulang dari Zurich, sebagaimana perjalanan pergi kami akan merentasi negara Perancis untuk tiba ke Saarland. Negeri yang dilalui bernama Alsace yang mempunyai 2 bandar yang terkenal dengan kecantikan dan tarikan pelancong iaitu Strasbourg dan Colmar. Namun kali ini kami tidak sempat lagi untuk singgah ke Strasbourg yang juga merupakan ibu negeri Alsace. Kita simpan lawatan ke Strasbourg untuk lawatan khas akan datang, InsyaAllah. Kali ini kita bercerita tentang Colmar sahaja dulu.


Colmar Village
merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di dalam daerah Alsace, Perancis. Kampung unik ini telah wujud sejak dari kurun ke-9 lagi. (Pada masa ni negara kita masih lagi dalam abad zaman pemerintahan Srivijaya dengan manusia masa tu semuanya beragama Hindu. ). Bangunan -bangunan lama sejak dari zaman awal Renaissance itu masih lagi kekal hingga kini dan dijaga dengan rapi. Oleh kerana itulah, sepanjang masa kampung ini tidak sunyi dari dilawat oleh manusia dari segenap pelusuk dunia untuk melihat banyak peninggalan sejarah.

Lawatan kami ke
Colmar adalah tanpa membuat apa-apa penyelidikan tentangnya. Mula-mula kami tiba, hanya nampak seperti sebuah bandar biasa yang tidak ada bezanya. Kami hanya duduk-duduk menghilangkan lenguh badan di taman yang mempunyai air pancut buatan dan terdapat tempat kanak-kanak bermain. Seketika kemudian, kami baru sedar yang ramai orang akan masuk berjalan ke sebuah jalan kecil di antara bangunan. Kami seterusnya mengikut jejak mereka. Rupanya kampung unik itu tersembunyi di dalamnya. Menyusuri jalan itu seperti memasuki ke zaman lain yang membuat hati terasa seronot. Terpegun melihat ukiran dan senibina bangunan kayu yang berwarna-warni. Kedai-kedai kopi jenis lama yang dipenuhi dengan ramai tetamu yang mahu merasai suasana berbeza. Terasa seperti berada di dalam filem-filem zaman dahulu kala. Terasa mahu hanya duduk-duduk di bangku kayu di hadapan kedai menghayati pemandangan yang berbeza ini. Tidak puas rasanya untuk berada sekejap di kampung Colmar itu. Namun, walaupun masih tidak habis kami jelajahi, hari sudah beransur gelap. GPS pula tidak berfungsi. Kami tidak mahulah pula tersesat jalan untuk pulang ke rumah. Selamat tinggal kampung Colmar. Entah bila lagi dapatku menjejakkan kaki ke situ.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang
Colmar, sila baca di Colmar@Wikipedia dan juga laman web rasmi Colmar Official Site.

Keindahan Colmar tidak dapat dinafikan. Mungkin Malaysia adalah diantara negara mempunyai Colmar Village sendiri. Maka, penduduk Malaysia masih berpeluang untuk merasa keunikan Colmar Village dengan adanya Colmar Tropicale Resort yang diinspirasikan dari Colmar Village yang asal. Terletak di Berjaya Hill dan hanya lebih kurang 40 min sahaja dari Kuala Lumpur ke Karak Highway.



Posted in Labels: |

0 comments: