London City
Posted On Wednesday, July 18, 2007 at at 11:22 AM by SADay 1 & 2, Summer Holiday 2007
Day 1 in London City
Kami tiba di London di awal 6.40 pagi di Lapangan Terbang Stansted, London. Dari situ kami menaiki bas National Express ke Central London yang kosnya 8 Pound untuk dewasa dan 4 Pound untuk kanak-kanak lebih dari 2 tahun. Perjalanan dari Stansted Airport ke central London adalah lebih kurang 1 jam ditambah dengan kesesakan trafik yang sudah menjadi lumrah di kota besar itu.
Semasa menanti sahabat a.k.a pemandu pelancong kami tiba dari Nottingham, kami sempat juga ke London Bridge dan singgah berehat di Green Park kerana kepenatan mengusung beg dan anak-anak.
Selepas Azmi sekeluarga sampai, mereka mengambil kami di Park Royal Train Station dan membawa semua beg ke tempat bermalam kami iaitu Travelodge Park Royal. Bukan sahaja murah, tetapi sangat selesa. Setelah hilang penat, kami terus keluar semula ke kota London untuk mencari pengisi perut.
London Transport: The Tube
The tube merupakan sistem keretapi bawah tanah yang menjadi sistem pengangkutan utama warga London. Kami membeli 1 hari Day Travel Ticket yang membolehkan kita menggunakan sistem keretapi bawah tanah ini ke mana-mana di dalam Kota London (pastikan juga anda memberi untuk ke semua Zone). Ada 2 jenis Day Travel Ticket iaitu anda mula menggunakannya sebelum jam 9.30 pagi (Day Travelcard - Peak) yang harganya lebih mahal berbanding dengan Non-Peak. Pastikan anda tiba di stesen pada jam 9.30 pagi untuk membeli ticket Off-Peak sekiranya merasakan tidak berbaloi harga Peak Travelcard dan juga bersesak-sesak dengan warga kota yang juga mahu keluar bekerja. Harga tiket di hari minggu juga adalah berbeza dengan hari-hari biasa (Isnin - Jumaat). Sila ke laman London Travelcard untuk lebih info.
::The Travelodge::
Travelodge merupakan salah satu tempat penginapan yang paling digemari oleh pelancong ke United Kingdom dan direkemenkan oleh rakan-rakan Malaysia yang sudah biasa di UK dan Ireland. Hotel ini bukan sahaja lengkap dan selesa bahkan juga paling murah sekiranya kita membuat booking awal. Rangkaian hotel ini ada di seluruh UK terutama di highway dan bandar-bandar yang sering dikunjungi orang ramai. Kami amat berpuas hati dengan Travelodge kerana bilik airnya terletak di bilik sendiri berbanding dengan Hotel Formule 1. Travelodge juga menyediakan uncang teh dan kopi untuk tetamunya sebagaimana ciri hotel yang biasa. Namun, hotel ini buat masa ini hanya mempunyai rangkaian di UK dan Ireland sahaja. Oleh itu, di luar UK & Ireland kami masih memilih Hotel Formule 1 kerana harganya.
::Halal Restaurants at Edgware Road, London::
Pemandu pelancong kami membawa kami ke Edgware Road yang katanya banyak terdapat restoran halal. Di Edgware Road ini jugalah terletaknya Restoran Mawar yang dikatakan satu-satunya restoran Halal milik bumiputra Malaysia. Namun, kecewa sungguh kami setelah 2 hari berturut ke Edgware Road, restoran tersebut ditutup. Kelihatannya seperti sudah lama tidak dibuka kerana dari tingkap restoran, di dalamnya seperti terdapat timbunan kotak-kotak. Entah sejak bila lagi ditutup tidaklah kami ketahui. Mungkin ada rakan-rakan yang berada di London atau terkini melawat London boleh memberi update tentang Restoran Mawar yang suatu ketika dulu pernah menjadi sebutan di kalangan rakyat Malaysia yang melawat kota London. Update>> Setelah saya membuat sedikit pencarian di internet, rupanya memang benar Restoran Mawar ini telah ditutup. Link kepada direktori London masih mempunyai rekod restoran ini dan banyak juga rupanya komplen dari pelanggan terutamanya berkaitan kualiti perkhidmatan yang semakin menurun sebelum ini dan yang paling banyak dikritik adalah layanan pekerja yang amat kurang memuaskan. Nampaknya entah bila lagi akan ada sebuah lagi restoran milik Malaysian yang halal di kota terkenal itu :(
Walaupun hajat untuk menjamu selera dengan juadah Melayu tidak kesampaian, kami singgah mengisi perut dengan mencuba juadah dari restoran Arab dan Lebanon yang banyak sekali di jalan itu. Kali ke-dua di Edgware Road, kami makan set nasi dengan baby ayam golek bersama sedikit salad. Harga makanan untuk kedua-dua restoran yang kami pergi adalah sekitar 6-8 Pound untuk 1 set hidangan untuk seorang tidak termasuk minuman.
Day 2 in London City
Pada hari kedua yang juga hari terakhir tersebut, sempatlah kami melawat beberapa tempat terkenal seperti London Eye (hanya tengok dari jauh), The Big Ben (Clock Tower), berjalan-jalan di sekitar London National Gallery dan Buckingham Palace. Sekitar jam 4 petang, kami bertolak ke Nottingham untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Kami merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat kami, Azmi & Norliza serta Umairah yang sanggup datang ke London menjadi pemandu pelancong kami dan membawa kami pulang bermalam di rumah mereka di Nottingham. Di ketika ini mereka berdua sedang menghabiskan penulisan akhir thesis PhD mereka. Kami amatlah menghargai segala layanan yang diberikan. Semoga berjaya kedua-duanya membawa balik ijazah dan pulang berbakti kepada negara.